kalamullah

Showing posts with label bulan mulia. Show all posts
Showing posts with label bulan mulia. Show all posts

Thursday, December 9, 2010

MERANCANG: tradisi ORANG BERTAQWA


Tahun 1431 Hijriyyah telah meninggalkan kita. 1432 Hijriyyah pula mendatang di hadapan kita. Bersyukurlah kerana Allah masih tidak putus memberikan kita rezeki nyawa, nikmat Iman, dan kurnia Islam, Alhamdulillah.
Cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda semua,"berapakah umur aku?"
Sudah pasti anda mampu menjawabnya. 18 tahun? 19 tahun? 20, 21, 23 tahun? Atau 30 tahun?
Dan berapa kalikah sudah kita lalui Sambutan Tahun Baru atau Sambutan Maal Hijrah? 5 kali? 10 kali? 15 kali?
Lazimnya, setiap kali sambutan Maal Hijrah, manusia biasa akan memperbaharui azam barunya untuk tahun tersebut. Atau sekurang-kurangnya berfikir untuk memperbaiki kelemahan lalu. Atau paling kurang pun, merasakan bahawa kualiti dirinya sudah meningkat sedikit berbanding tahun yang sebelumnya.
Cuba bayangkan, kalau benarlah setiap tahun kita berjaya memperbaharui azam kita, memperbaiki kualiti diri kita, meningkatkan nilai hidup kita, dan memperelok masyarakat sekitar kita, maka pada tahun ini, sudah berapa banyakkah kualiti diri kita yang berjaya ditingkatkan? Sudah berapa jauhkah kita memperbaiki nilai hidup kita? Sudah berapa elokkah masyarakat kita? Tanyakan kepada diri anda sendiri.
Bagaimana pula realitinya? Adakah kualiti diri kita kini 5 kali lebih baik daripada diri kita 5 tahun lalu? Tidak dinafikan, sedangkan iman pun ada naik dan turunnya seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW,
الاءيمان يزيد و ينقص
Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak maju ke hadapan.
Merancang, Tradisi Orang Bertaqwa
Ramai di kalangan kita mengaku bahawa dialah penuntut ilmu yang hebat. Ada pula mengatakan dialah pejuang Islam yang mantap. Ada juga yang 'berangan-angan' menjadi orang yang mampu mengubah dunia pada suatu hari nanti, tetapi lupa pada sunnatullah. Sunnatullah apa? Sunnatullah bahawa, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Kata kuncinya adalah, PERANCANGAN!
Allah berfirman di dalam surah Al-Hasyr, ayat ke-18,
"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada ALlah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang hendak diperbuatnya untuk hari esok (Hari Akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
Ya, kata kuncinya, merancang! Kalau nak tengok kehebatan seorang manusia itu, kita lihat sejauh manakah perancangannya. Dan menjadi tradisi orang bertaqwa, untuk merancang untuk Hari Akhirat, perancangan paling jauh! Maka, dalam Islam kita diajar menjadi orang yang paling hebat, kerana perancangan kita adalah yang paling jauh.
Namun, selalunya akan timbul salah faham terhadap konsep 'Akhirat'. Ramai yang gagal menemui jalan untuk merancang ke Akhirat. Jawapannya mudah sahaja, kita bayangkan sahaja jika kita hendak ke Kuala Lumpur dari Seremban. Matlamat kita adalah Kuala Lumpur, tetapi lojik akal mengatakan, kita perlu menempuh Highway PLUS Seremban-KL terlebih dahulu. Begitu juga Akhirat. Bukankah dunia itu 'Highway' Akhirat?
الدنيا مزرعة الأخرة
"Dunia itu ladang Akhirat"
Membina Azam, Sunnah Yang Selalu Diabaikan
"Alah, azam aku tahun biasa-biasa je lah..."
"Takda apa-apa azam pun, life goes on..."
"Isy, apa azam-azam ni! Banyak sangat azamnya, nanti tak buat jugak..."
Saya berasa kecewa apabila mendengar ucapan-ucapan sedemikian terbit dari mulut seorang Muslim. Jika anda salah seorang dari mereka ini, cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda sendiri. "Apakah yang anda tahun tentang sunnah Rasulullah?"
Jawapan yang selalu keluar dari mulut ramai dalam kalangan kita adalah, menyimpan janggut, bersugi, memakai jubah, memakai kopiah, memakai celak, bahkan ada yang terus mengatakan, "poligami!"
Marilah kita renungi satu Hadith yang mahsyur, ketika Ummat Islam Madinah sedang bersiap sedia menggali parit untuk menghadapi Perang Khandak, Rasulullah SAW bersabda,
"Akan pasti dibuka kota konstantinopel itu. Maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya" (al-Hadith Ahmad bin Hanbal)
Tidak semena-mena, dalam ketegangan waktu perang, di bawah panas terik padang pasir, dengan kepenatan menggali parit, Rasulullah saw bersabda sedemikian.
Saya bayangkan, kalaulah kita ada di waktu itu, kita akan katakan dalam bahasa kita, "Apa kejadahnya ni?" Ya lah, cuba bayangkan, Ummat Islam ketika itu hanya berapa kerat sahaja berbanding Kaum Musyrikin Mekah, kelihatan seperti itu hanya omongan kosong sahaja, tetapi lihatlah, bagaimana Rasulullah SAW mengajar Ummat Islam agar 'think big'!
Dan, dengan Rahmat Allah dan kemuliaan kata-kata Rasulullah SAW, perkara itu terjadi! Bukan di zaman Rasulullah, bukan pula di zaman Saydina Abu Bakr, atau Zaydina Umar, atau Saydina Uthman. Bukan juga di zaman Saydina Ali, tetapi 800 tahun selepas itu, ketika pemerintahan Khalifah ke-7 Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al-Fatih!
Dan juga, Spethen R. Covey di dalam bukunya berjudul '7 Habits Of Higly Effective People'MENIRU konsep Sunnah Rasulullah ini, di dalam habitnya yang kedua, 'Begin with the End in Mind'. =)
Pangkal Penentu Penghujung
Setelah mempunyai visi dan matlamat yang jelas, atau dengan kata lainnya kita dah tahu 'penghujung', barulah kita dapat memulakan langkah baru. Matlamat akhir kita akan menentukan permulaan kita. Namun, begitu juga sebaliknya, langkah pertama kita, akan menentukan bagaimana keadaan penghujung kita. Langkah pertama akan menentukan momentum kita untuk bergerak.
Kesilapan ramai dalam kalangan kita adalah, setelah merancang matlamat dan visi, mereka gagal memulakan 'langkah pertama'. Antara sebab yang popular adalah, malu tak bertempat, tidak ada keyakinan diri, segan, malas, tak tahu macam mana nak mula, dan tiada semangat. Have a vision, share the vision.
Memetik satu kata hikmah,
من لم يكن في بدايته محركة, لم يكن في نهايته مشرقة
Siapa yang di permulaannya tidak bergerak, penghujungnya tidak akan bernyala(atau bercahaya/cerah/hebat)
Kata kuncinya adalah, GERAK!
Maka lepas ini, moga-moga tiada lagi kata-kata "tak mampulah" atau "seganlah" atau "isy, malaslah" keluar dari mulut seorang Muslim, kerana ia melanggar dan menyalahi Sunnah Rasulullah SAW.
Kalau ada lagi yang berfikiran begini, ingat pula kata-kata Imam Junid,
من طلب شيء بجدّ و صدق الاّ نال كله فاءن لم ينال كله ينال بعضه
"Barangsiapa yang menuntut (mencari) sesuatu dengan sungguh-sungguh dan benar, melainkan dia akan dapat semuanya (yang dia mahu). Kalau tak dapat semuanya pun, dia akan dapat sebahagiannya."
Maka kalau niat anda ikhlas kerana Allah, dan perkara yang anda mahukan itu benar dan halal,sertakan sekali dengan kesungguhan, insyaAllah, jika anda tidak dapat kesemuanya, anda akan dapat juga sebahagiannya. Yakinlah. Kan untung begitu?
Sekian dahulu ucapan Maal Hijrah saya untuk tahun 1432. Semoga kita semua mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita pada tahun lalu, dan terhindar dari dosa pada tahun mendatang.
Semoga juga kita beroleh pahala dan keredhaan di atas segala alam kita pada tahun lalu, dan diberi petunjuk dan keberkatan di atas segala amal perbuatan kita pada tahun mendatang.
Ingatlah, saya juga tidak terlepas dari gejala-gejala negatif yang saya sebutkan di atas. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat insyaAllah.
Salam Maal Hijrah!


p/s:dipetik dari www.iluvislam.com

Tuesday, August 10, 2010

..Debaran menanti "SI DIA"..

Alhamdulillah...
segala puji bagiNya...kerana masih memberikan aku peluang untuk terus menghirup udaraNya yang segar..
masih memberi nikmat padaku untuk terus melihat pepohon hijau yang melambai bersama bebunganya
yang menyerikan alam..memberikan aku kemampuan untuk terus mendengar kicauan riang daripada
burung2 kecil seolah2 menunjukkan kegembiraan menyambut SI DIA yg bakal tiba..SubhanAllah.mulut ini masih berupaya untuk bertasbih memuji keagunganNya....

sekian lama hati ini merindui SI DIA...
tidak tertahan rasanya menanggung kerinduan yang berpanjangan..
mulut ini sentiasa menyebut tentang SI DIA...
bilakan masanya SI DIA akan tiba??
sepanjang penantian SI DIA..
kadang2 diri ini terlalai dengan dunia..
kemudian hati ini kembali merintih..
memohon keampunan daripadaNya..
kedatangan SI DIA amat dinantikan..
bersama tarbiyah dan keinsafan yang dibawa...
tanda kasih syg olehNya..

kini..
SI DIA kian tiba...
mebawa sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua...
mampukah aku merebut SI DIA bersama yang lain??
Allah..aku perlukan kekuatan dariMu...
SI DIA datang hanya sementara...
aku takut..aku kembali leka dengan dunia..
aku takut..aku xsempat untuk bersama dengannya sepanjang pertemuan ini..
aku takut..aku xmampu merebut apa yg dikirim olehMu bersama SI DIA...
Ya Allah..aku terlupa sesuatu...
aku perlu mempersiapkan diri..
aku perlu menyambut kedatangan SI DIA kerinduanku..
segera ku bertindak..
sebulan sebelum kehadirannya ku menyediakan apa yang diperlukan...
senyuman iman kuukirkan manis...
pakaian takwa ku hias indah...
hidangan ibadah ku sedia sebaiknya...
namun..
aku rasa masih belum cukup segala yang dperlukan...
Allah...izinkan aku untuk mencukupkan segalanya ketika bersama SI DIA nanti..
ampunkanlah segala d0sa2ku...
doaku dipanjatkan kepada yang Maha Esa...
hanya itu yang aku mampu...


Debaran kian terasa...
takut bercampur gembira...
tenang bercampur gelisah...
hari demi hari...
detik demi detik...
akhirnya..SI DIA tiba dengan penuh cahaya..
manik2 jernih berjuraian dari ekor mata..
tanda keharuan dengan kedatangan SI DIA..
bibir bertahmid dan bertasbih..tanda kesyukuran jelas padaNya..
bumi kian indah dan berseri..gembira menyambut SI DIA yang mulia...
debaran makin pudar...diganti dengan semangat yang kian tinggi...
gelisah semakin hilang..diganti dengan ketenangan dihati...
takut kian malap...diganti dengan kegembiraan yang xterperi...
Alhamdulillah...
KAU kunjung jua Ya Ramadhan....
Ya Allah...kau panjangkanlah umurku agar aku dapat bersamanya...
Kau permudahkanlah urusanku agar aku dapat merebut apa yang dibawaNYA..
Kau berikanlah hidayah kepadaku agar aku dapat lebih dekat dgnMu..
Syukur Ya Allah..kau mengizinkan aku bersama SI DIA sehingga saat ini...
Izinkan aku untuk merebut hadiah yang dikirimkan olehMu bersama SI DIA...


Salam Ramadhan pada sahabat2 semua...ampun maaf dipinta atas segala kesalahan yang telah dilakukan oleh insan lemah ini...pada guru2 SMAPK..diri ini juga terlalu merindui belaian kasih kalian..insyaAllah..kunjungan ke sana kan tiba jua...pada sahabat SMAPK..mungkin saat ini kita kembali merindui indahnya sambutan ramadhan dibumi tarbiyah kita...setiap saat diisi dengan ibadah kepadaNya...
musolla dan masjid pasti terang dengan cahaya indah..kelas2 yang masanya lebih diisi dengan bacaan kalamullah..pasti kalian juga sama denganku..merindui Alahyarham Monseiur Rusli yang telah pulang kepadaNya...terutamanya pda anak didik bahasa perancisnya...xmungkin kita lupa..suaranya yang lunak merdu tika menjadi imam terawih di masjid..mulutnya yang riang berkongsi pengalamnnya ketika di bumi asing...dan tika ramadhan tiba..pasti tangannya sentiasa memegang kalamullah bersama tafsir bahasa perancis..sebelum kelas  bahasa perancis bermula..beberapa potongan ayat dibaca diselang selikan dengan tafsiran berbahsa perancis..indah budi pekertinya..tingkah lakunya..hingga saat ajalnya menjemput..xmungkin dirinya dapat dilupakan...Al Fatihah untuk beliau...Juga kita xmungkin lupakan dendangan indah lagu "RAMADHAN BULAN YANG SUCI" oleh ustaz wan noh =)dan sudah pasti kita xmampu lupakan saat2 indah kita bersama..
pada sahabat dan guru2 SKS..mungkin sekian lama kita xbersua..
tetapi ingatan pada kalian tetap tidak akan pudar..
kalianlah pemberi semangat padaku tika insan lemah ini masih kecil untuk melalui dugaan family yang berpecah belah..
pada sahabat UiTM..ramadhan yang lepas..mgkin kalian masih ingat..kita menyambutnya di tangga puduraya..bersama air dan roti yang dikongsi..kita bersahur bersama2...penat bercampur lapar..tapi..kita masih mampu tersenyum..demi tarbiyah daripadaNya..kita sama2 melangkah ke taman KLCC..bersama2 berkongsi ilmu..dan akhirnya kita berbuka puasa di masjid As- Syakirin sebelum bertolak pulang...
perjalanan yang singkat..tapi penuh makna dan tarbiyah..syukran pada naqibahku yang sentiasa berkongsi ilmu dan pengalaman...yang membawaku ke dunia tarbiyah yang baru..yang mengajarku erti kesusahan bergelar mahasiswi muslimah...pada sahabat PL1F-PL3F (including aazreen, pak nan n khairi)..mgkn kali ini ramadhan yang terakhir kita dapat bersama..berkongsi suka dan duka bersama...tetapi persahabatan yang dibina tetap akn utuh jika terus dibajai..insyaAllah...moga kalian juga terus berjaya...
Pada sahabat2 di laman maya..juga sahabat yang mungkin megenali diriku..ampun maaf jua dipinta..andai diri ini pernah mengasari..mungkin kita xpernah bersua..tetapi dengan ukhwah yang ikhlas keranaNya..dengan niat yang sama memperjuangkan agamaNya..hati kita bersatu..Alhamdulillah..moga kalian juga terus thabat di jalanNya..
SALAM RAMADHAN buat semua...moga kita sama2 dapat merebut hadiah daripadaNya... =)

Thursday, November 19, 2009

.::.Kelebihan Bulan Zulhijjah 10 Hari Pertama.::.

Bulan Zulhijjah merupakan bulan dimana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah

Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3


“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”

Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengmbil pandnagan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,
“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj

“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi
“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim)

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA

1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah
yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa
Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,
Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad
Rahimahullah, di antaranya :
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan
tahmid (Alhamdu Lillah)”.

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”
dan di dalam riwayat lain :
“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :
“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
p/s: sElaMaT bErAmAl :p

Friday, July 3, 2009

keistimewaan bulan rejab

Zaman ini persis wanita yang mengandung. Lihatlah apa yang berlaku padanya dalam sekelip mata terutama apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.


Sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan umat Islam daripada melakukan amalan di bulan Rejab, beralaskan hadis kelebihan bulan Rejab adalah palsu dan yang lain pula mendatangkan dalil berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan Rejab.


Dalam memahami selok-belok Rejab, kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber yang berkaitan dengannya. Tegasnya, al-Quran, hadis, pandangan ulama muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur serta telus. Ia boleh membantu kita dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan.


Kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan.Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.


Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.


Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.


Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.


Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.


Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”


Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.


Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.


Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).


Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.”


(Sahih Muslim)Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.


Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram.


Rejab adalah satu darinya.”Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini.


Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”


Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”


Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.


Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.


Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab.


Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.