kalamullah

Wednesday, June 22, 2011

si cilik yang celik

hembusan angin mengelus lembut pipi mulus anak kecil yang sedang tidur...titis-titis hujan masih kelihatan...menjadikan suasana nyaman dan tenang..ku renung wajah anak kecil yang sedang lena dibuai mimpi...penuh ketenangan..bersih dari segala dosa dan noda..ibarat kain putih yang sedang dicorakkan..
terkadang senyuman manis hinggap dibibirnya...entah apa yang dimimpikan...moga anak kecil ini menjadi anak yang solehah..indah akhlaknya seindah maksud namanya MARIAM ADRIANA...anak pertama kakak ku yang ke 4..genap 6 orang anak saudaraku..menjadi penyeri keluarga yang semakin membesar...


teringat aku pada teman seperniagaku di merbok...SI CILIK YANG CELIK...siapa sangka anak kecil yang berumur 6tahun punya cita2 yang besar..aku sendiri kagum dengan semangatnya..alkisah bermula tika aku ditawarkan untuk bekerja di booth buku milik anak seorang pensyarah uitm tersebut...aku segera menerimanya..tambahan pula aku sedang cuti dan sedang menjalani kursus pm di sana...seawal jam 9 pagi..booth buku dibuka di penjuru susur gajah bersebelahan dewan sarjana atau dewan kuliah uitm yang merupakan laluan utama pelajar ke kelas..pemiliknya akh aiman menyerahkan 100% pengurusan booth tersebut kepadaku...dengan senang hati aku menerimanya tanpa ragu2...


sedang aku sibuk menngeluarkan buku daripada kotak2 yang besar...seorang kanak-kanak lelaki hadir...menggalas beg yang berwarna-warni dan ditangannya bungkusan plastik yang berisi tupperware nasi dan lauk...di lehernya tergantung bekas air..pakaiannya kemas dan bersih...aku segera bertanya...


"adik nak cari sape?"
"xde sape2..amir nk duduk sini.."


mungkin adik akh aiman..aku segera mengangkatnya untuk duduk di atas kerusi..ada juga teman untuk aku berbual nt..


aku meneruskan kerjaku...dia turun dari kerusinya...lalu membantuku menyusun buku2 di atas meja sambil menyanyi riang..terhiburku dengan gelagatnya..tiba2 dia mengeluarkan sesuatu dari beg yang digalas..dengan pelat sabahnya..dia bertanya kepadaku...


"kakak, kat mana amir boleh letak kerongsang amir ni?"


kerongsang mutiara..beraneka warna..mungkin dari sabah


"tepi meja tu kosong..amir blh letak kt sana..mudah orang nampak."
"ok kakak, ni kerongsang amir tau...amir nk jual..satu 10ringgit je."
"eh, amir nk jual sendiri ke?"
"haah, tapi amir pinjam modal mama. lepas dpt untung nt amir bayar balik kt mama."
"oh, kt mana amir beli kerongsang ni?"
"sebelum amir pindah sini, dulu amir duduk sabah. amir beli kat sabahla."
"wah, bagusnya amir." aku memujinya dengan penuh kekaguman dengan semanagat si kecil ini.
bibirnya mengoyak senyuman, "amir nk jadi mcm abg aiman. nk berniaga.


aku meneruskan saki-baki buku yang masih belum tersusun dan amir pula sedang sibuk menyusun kerongsangnya di hujung meja. Ramai student yang menyinggah..melihat buku2 yang menarik sementara menunggu sesi kelas bermula. tika itulah amir akan ke depan membawa contoh kerongsang di tangannya.


"kakak nk beli kerongsang? murahje..amir jual 10ringgit."
"abang pun blh beli, blh bagi hadiah pada kakak, pada mak abang."
"ini kerongsang sabah, ada macam2 warna. kakak blh tengok disini."


lancar bicaranya, sesiapa sahaja yang melalui kawasan booth kami pasti tertarik dengan bicara anak kecil ini. Bermacam soalan ditanya kepada amir, bukan kerana kerongsang yang dijual tetapi kerana kepetahannya mempromosikan barang. Aku sendiri seronok melihat usahanya yang bersungguh-sungguh untuk melariskan barang jualannya.


suasana menjadi lengang pabila sesi kuliah bermula. Amir duduk di kerusi kepenatan. Di ambil plastik yang berisi makanan tadi di buka satu persatu.


"Kakak, boleh tolong ambikkan lauk untuk amir tak? Amir takut tumpah nanti membazir pula."
"Boleh." aku menjawab dengan senang dan mencedok lauk daripada tupperware yang dibawa tadi.
"amir, sape yang ajar amir berniaga?"aku memulakan bicara dan dengan kepetahannya, amir mengisi ruang kekosongan waktu ini dengan celotehnya yang mencuit hati dan mungkin juga membuka mata sesiapa sahaja yang mendengarnya.


"mama amir. dulu amir penakut. Sebab itu mama ajar amir berniaga. mama cakap nak jadi peniaga kena sabar, kena berani ke depan baru boleh berjaya. sebab itu, amir berani sekarang. Amir dah tak penakut macam dulu, Amir dah berani". dia mengoyakkan senyuman dan mengenggam penumbuk tangannya dengan penuh keyakinan untuk membuktikan yang dia benar2 berani.


"Betul cakap mama amir tu. Amir memang berani. Bila besar nanti Amir nak jadi peniaga jugak?" aku meneruskan bicara.


"Untung yang amir dapat ni, Amir nak beli lembu 2 ekor, 1 jantan dan 1 lagi betina."
"Eh, nape plak Amir nak beli lembu?"
"Amir nak bela lembu tu. Nak jaga dia elok-elok. Bila dah besar Amir boleh jual susu dia, daging dia, kan lagi banyak duit Amir boleh dapat."
"Bagus2, jadi Amir kena berusaha betul2 tau." aku memberi semangat. Kekaguman aku padanya masih kuat.Sungguh celik fikiran anak kecil ini.


Azan zohor berkumandang, mujur ada sahabatku yang sudi membantu menjaga booth sementara aku ke surau menunaikan kewajipan pada Yang Esa. Tika kaki ingin melangkah, Amir bersuara.


"Kakak nak ke mana?"
"Kakak nak gi solat."
"Amir nak ikut."lantas dia melompat turun dari kerusi. mengekoriku dari belakang.
Dengan senang hati aku memimpin tangannya. Sampainya di surau dia segera ke bahagian solat lelaki. Sempat lagi dia berpesan kepadaku.


"Kakak, kalau kakak dah habis solat dulu, kakak tunggu Amir di sini tau." Telunjuknya menunjukkan bangku kecil dihadapan pintu surau.


aku segera mengiyakan sambil tersenyum dengan penuh kagum dan bangga dengan Si cilik yang sememangnya celik.





Sunday, May 22, 2011

facebook


Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.
 Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang  sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar. 

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya. 

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
p/s: dipetik di www.zaharuddin.net