kalamullah

Thursday, December 9, 2010

MERANCANG: tradisi ORANG BERTAQWA


Tahun 1431 Hijriyyah telah meninggalkan kita. 1432 Hijriyyah pula mendatang di hadapan kita. Bersyukurlah kerana Allah masih tidak putus memberikan kita rezeki nyawa, nikmat Iman, dan kurnia Islam, Alhamdulillah.
Cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda semua,"berapakah umur aku?"
Sudah pasti anda mampu menjawabnya. 18 tahun? 19 tahun? 20, 21, 23 tahun? Atau 30 tahun?
Dan berapa kalikah sudah kita lalui Sambutan Tahun Baru atau Sambutan Maal Hijrah? 5 kali? 10 kali? 15 kali?
Lazimnya, setiap kali sambutan Maal Hijrah, manusia biasa akan memperbaharui azam barunya untuk tahun tersebut. Atau sekurang-kurangnya berfikir untuk memperbaiki kelemahan lalu. Atau paling kurang pun, merasakan bahawa kualiti dirinya sudah meningkat sedikit berbanding tahun yang sebelumnya.
Cuba bayangkan, kalau benarlah setiap tahun kita berjaya memperbaharui azam kita, memperbaiki kualiti diri kita, meningkatkan nilai hidup kita, dan memperelok masyarakat sekitar kita, maka pada tahun ini, sudah berapa banyakkah kualiti diri kita yang berjaya ditingkatkan? Sudah berapa jauhkah kita memperbaiki nilai hidup kita? Sudah berapa elokkah masyarakat kita? Tanyakan kepada diri anda sendiri.
Bagaimana pula realitinya? Adakah kualiti diri kita kini 5 kali lebih baik daripada diri kita 5 tahun lalu? Tidak dinafikan, sedangkan iman pun ada naik dan turunnya seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW,
الاءيمان يزيد و ينقص
Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak maju ke hadapan.
Merancang, Tradisi Orang Bertaqwa
Ramai di kalangan kita mengaku bahawa dialah penuntut ilmu yang hebat. Ada pula mengatakan dialah pejuang Islam yang mantap. Ada juga yang 'berangan-angan' menjadi orang yang mampu mengubah dunia pada suatu hari nanti, tetapi lupa pada sunnatullah. Sunnatullah apa? Sunnatullah bahawa, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Kata kuncinya adalah, PERANCANGAN!
Allah berfirman di dalam surah Al-Hasyr, ayat ke-18,
"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada ALlah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang hendak diperbuatnya untuk hari esok (Hari Akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
Ya, kata kuncinya, merancang! Kalau nak tengok kehebatan seorang manusia itu, kita lihat sejauh manakah perancangannya. Dan menjadi tradisi orang bertaqwa, untuk merancang untuk Hari Akhirat, perancangan paling jauh! Maka, dalam Islam kita diajar menjadi orang yang paling hebat, kerana perancangan kita adalah yang paling jauh.
Namun, selalunya akan timbul salah faham terhadap konsep 'Akhirat'. Ramai yang gagal menemui jalan untuk merancang ke Akhirat. Jawapannya mudah sahaja, kita bayangkan sahaja jika kita hendak ke Kuala Lumpur dari Seremban. Matlamat kita adalah Kuala Lumpur, tetapi lojik akal mengatakan, kita perlu menempuh Highway PLUS Seremban-KL terlebih dahulu. Begitu juga Akhirat. Bukankah dunia itu 'Highway' Akhirat?
الدنيا مزرعة الأخرة
"Dunia itu ladang Akhirat"
Membina Azam, Sunnah Yang Selalu Diabaikan
"Alah, azam aku tahun biasa-biasa je lah..."
"Takda apa-apa azam pun, life goes on..."
"Isy, apa azam-azam ni! Banyak sangat azamnya, nanti tak buat jugak..."
Saya berasa kecewa apabila mendengar ucapan-ucapan sedemikian terbit dari mulut seorang Muslim. Jika anda salah seorang dari mereka ini, cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda sendiri. "Apakah yang anda tahun tentang sunnah Rasulullah?"
Jawapan yang selalu keluar dari mulut ramai dalam kalangan kita adalah, menyimpan janggut, bersugi, memakai jubah, memakai kopiah, memakai celak, bahkan ada yang terus mengatakan, "poligami!"
Marilah kita renungi satu Hadith yang mahsyur, ketika Ummat Islam Madinah sedang bersiap sedia menggali parit untuk menghadapi Perang Khandak, Rasulullah SAW bersabda,
"Akan pasti dibuka kota konstantinopel itu. Maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya" (al-Hadith Ahmad bin Hanbal)
Tidak semena-mena, dalam ketegangan waktu perang, di bawah panas terik padang pasir, dengan kepenatan menggali parit, Rasulullah saw bersabda sedemikian.
Saya bayangkan, kalaulah kita ada di waktu itu, kita akan katakan dalam bahasa kita, "Apa kejadahnya ni?" Ya lah, cuba bayangkan, Ummat Islam ketika itu hanya berapa kerat sahaja berbanding Kaum Musyrikin Mekah, kelihatan seperti itu hanya omongan kosong sahaja, tetapi lihatlah, bagaimana Rasulullah SAW mengajar Ummat Islam agar 'think big'!
Dan, dengan Rahmat Allah dan kemuliaan kata-kata Rasulullah SAW, perkara itu terjadi! Bukan di zaman Rasulullah, bukan pula di zaman Saydina Abu Bakr, atau Zaydina Umar, atau Saydina Uthman. Bukan juga di zaman Saydina Ali, tetapi 800 tahun selepas itu, ketika pemerintahan Khalifah ke-7 Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al-Fatih!
Dan juga, Spethen R. Covey di dalam bukunya berjudul '7 Habits Of Higly Effective People'MENIRU konsep Sunnah Rasulullah ini, di dalam habitnya yang kedua, 'Begin with the End in Mind'. =)
Pangkal Penentu Penghujung
Setelah mempunyai visi dan matlamat yang jelas, atau dengan kata lainnya kita dah tahu 'penghujung', barulah kita dapat memulakan langkah baru. Matlamat akhir kita akan menentukan permulaan kita. Namun, begitu juga sebaliknya, langkah pertama kita, akan menentukan bagaimana keadaan penghujung kita. Langkah pertama akan menentukan momentum kita untuk bergerak.
Kesilapan ramai dalam kalangan kita adalah, setelah merancang matlamat dan visi, mereka gagal memulakan 'langkah pertama'. Antara sebab yang popular adalah, malu tak bertempat, tidak ada keyakinan diri, segan, malas, tak tahu macam mana nak mula, dan tiada semangat. Have a vision, share the vision.
Memetik satu kata hikmah,
من لم يكن في بدايته محركة, لم يكن في نهايته مشرقة
Siapa yang di permulaannya tidak bergerak, penghujungnya tidak akan bernyala(atau bercahaya/cerah/hebat)
Kata kuncinya adalah, GERAK!
Maka lepas ini, moga-moga tiada lagi kata-kata "tak mampulah" atau "seganlah" atau "isy, malaslah" keluar dari mulut seorang Muslim, kerana ia melanggar dan menyalahi Sunnah Rasulullah SAW.
Kalau ada lagi yang berfikiran begini, ingat pula kata-kata Imam Junid,
من طلب شيء بجدّ و صدق الاّ نال كله فاءن لم ينال كله ينال بعضه
"Barangsiapa yang menuntut (mencari) sesuatu dengan sungguh-sungguh dan benar, melainkan dia akan dapat semuanya (yang dia mahu). Kalau tak dapat semuanya pun, dia akan dapat sebahagiannya."
Maka kalau niat anda ikhlas kerana Allah, dan perkara yang anda mahukan itu benar dan halal,sertakan sekali dengan kesungguhan, insyaAllah, jika anda tidak dapat kesemuanya, anda akan dapat juga sebahagiannya. Yakinlah. Kan untung begitu?
Sekian dahulu ucapan Maal Hijrah saya untuk tahun 1432. Semoga kita semua mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita pada tahun lalu, dan terhindar dari dosa pada tahun mendatang.
Semoga juga kita beroleh pahala dan keredhaan di atas segala alam kita pada tahun lalu, dan diberi petunjuk dan keberkatan di atas segala amal perbuatan kita pada tahun mendatang.
Ingatlah, saya juga tidak terlepas dari gejala-gejala negatif yang saya sebutkan di atas. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat insyaAllah.
Salam Maal Hijrah!


p/s:dipetik dari www.iluvislam.com